Kerjaya politik Nik_Abdul_Aziz_bin_Nik_Mat

Tuan Guru mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, beliau adalah Mursyidul Am bagi parti tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2015. Semenjak tahun 1990, beliau telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga adalah seorang ADUN bagi kawasan N.06 Chempaka, Kelantan. Pada pilihan raya ke-11, Nik Aziz menyandang kerusi tersebut setelah mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.[5]

Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Nik Aziz sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut.[6] Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.[7]

Beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai seorang Menteri Besar selepas pilihan raya yang terbaru ini.[8] Penggantinya itu akan dipilih melalui satu proses undian sulit. Namun jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.[9]

Beliau dituduh mengamalkan kronisme dengan melantik menantunya Ariffahmi sebagai CEO PMBK, tetapi beliau menyatakan perlantikan itu berdasarkan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan. Ariffahmi akhirnya meletak jawatan.[10][11][12]